BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 14 July 2011

Tun Tan Cheng Lock..





Latarbelakang
Tan Cheng Lock dilahirkan pada 5 April 1883 di 111, Heeren Street, Melaka. Keturunan beliau berasal dari wilayah Fukien, China dan berhijrah ke Melaka di sekitar tahun 1770an. Bapa beliau bernama Tan Keong Ann dan ibunya Lee Seck Bin. Tempat kelahiran beliau ini masyhur dengan bangunan merah iaitu Dutch Stadthuys. Tan Cheng Lock merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik iaitu empat orang lelaki dan tiga orang perempuan.
    Tan Cheng Lock membesar dalam suasana pembelajaran yang tegas. Kemiskinan hidup menyebabkan beliau belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam hidupnya. Beliau telah menamatkan pengajian Standard VII di Malacca High School pada 1899 dan penerima kedua Biasiswa Tan Teck Guan di sekolahnya.
    Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Raffles Institution, Singapura dari tahun 1902 hingga 1908 dalam bidang undang-undang. Pada tahun 1908, usia beliau genap 25 tahun semasa menuntut di Raffles Institution. Pihak pentadbiran Raffles Institution telah memberi peluang kepada penuntutnya berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain dari Kolej Eropah dan ini menjadikan beliau lebih matang dan taat kepada British. Selepas menamatkan pengajian, beliau telah bekerja di ladang getah Bukit Kajang sebagai Penolong Pengurus dari tahun 1908 hingga 1910 dengan bantuan sepupu ibunya iaitu Lee Chin Tuan. Beliau juga mendapat bantuan dari Chan Kang Swi, untuk menjadi ahli perniagaan dalam perusahaan di bawah Malacca Pinda Rubber Estates, Ayer Molek Rubber Company dan United Malacca Rubber Estates. 



Sumbangan-Ekonomi
Selain memperjuangkan wawasan politiknya, Tan Cheng Lock memberi perhatian terhadap isu ekonomi dan kewangan. Beliau telah menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan British mengurangkan pengeluaran getah dengan tujuan untuk menstabilkan harga komoditi ini dalam zaman kemelesetan ekonomi dunia (1929  1933). Pengalaman luas beliau dalam sektor pertanian khususnya getah menjadi penyumbang kepada termetarainya Penjanjian Kawalan Getah Antarabangsa dengan Syarikat Hindia Timur Belanda dan tujuh negeri lain, iaitu Sri Langka, India, Myanmar, India-China, Thailand, Sarawak dan Borneo Utara pada bulan Jun 1934.



Sumbangan-Pentadbiran
Sejarah kepimpinanannya bermula pada usia 29 tahun apabila beliau dilantik menjadi hakim di Melaka pada bulan Ogos tahun 1912. Berapa bulan kemudian, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Majlis Perbandaran Bandar dan Port di Melaka dari tahun 1912 hingga 1922. 

Pada 1 Januari 1923, ketika Tan Cheng Lock berumur 40 tahun beliau telah dilantik menjadi Ahli Majlis Perundangan Tidak Rasmi Negeri-negeri Selat dan Straits Settlements Executive Council dari tahun 1933 hingga 1935. Semasa tempoh memegang jawatan tersebut, beliau memperjuangkan nasib kaum Cina khususnya dari aspek undang-undang perkahwinan, candu, pendidikan dan isu-isu imigresen. Pada 26 September 1935, Tan Cheng Lock telah bersara dari jawatan Unofficial Member of the Straits Settlements Executive Council. Dalam tahun 1949, beliau telah dilantik menjadi presiden pertama bagi Malayan Chinese Associations (MCA). Tan Cheng Lock adalah generasi kaum Cina awal 1920-an dan 1930-an yang menyumbang kepada Kemerdekaan Tanah Melayu.


Sumbangan-Politik
Pada 27 Februari 1949, Tun Tan Cheng Lock bersama-sama pemimpin Cina yang lain iaitu Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S. Lee mengasaskan penubuhan MCA (Persatuan Cina Malaya) dan dilantik sebagai Presiden parti pertama. Antara tujuan penubuhan MCA ialah untuk menyatukan orang Cina di seluruh Tanah Melayu, melindungi hak dan kepentingan orang Cina, bekerjasama dengan kerajaan untuk menentang komunis, bidang perdagangan, kelonggaran terhadap syarat bahasa dan tempoh tinggal yang lebih pendek, memperkenal konsep jus soli bersyarat bagi bukan Melayu. Akhirnya Tun Tan Cheng Lock telah membawa MCA dalam Konvensyen Kebangsaan (National Conventions) yang dianjurkan bersama UMNO pada 23 Ogos 1953. Akhirnya, Parti Perikatan telah ditubuhkan yang menggabungkan parti UMNO, MCA dan MIC. Seterusnya langkah ini telah mempercepat proses kemerdekaan Tanah Melayu.


Perkahwinan
Pada tahun 1913, Tan Cheng Lock berkahwin dengan Yeo Yeok Neo iaitu anak kepada Yeo Tin Hye iaitu Presiden Persatuan Masyarakat Hokkien di Melaka. Hasil perkongsian mereka berdua, dikurniakan seorang anak lelaki bernama Tan Siew Sin dan empat orang anak perempuan iaitu Kim Tin, Wee Geok Kim, Alice Kim Yoke dan Agnes Kim Lwi. Beliau meninggal dunia dunia akibat serangan jantung pada 13 Disember 1960 ketika berusia 77 tahun di Hospital Besar Melaka.


Anugerah
Sebagai mengenang khidmat dan jasa yang ditaburkan, beliau telah dikurniakan anugerah dan bintang kehormatan oleh kerajaan British, Persekutuan dan Negeri. Antaranya ialah J.P pada tahun 1913 dan Commander of the British Empire (C.B.E), The Knight Commander of the British Empire(K.B.E), dikurniakan oleh King George VI yang membawa gelaran Sir pada tahun 1952. Di peringkat Tanah Melayu pula, negeri Johor telah menganugerahkan D.P.M.J yang membawa gelaran Dato oleh Sultan Ibrahim pada tahun 1949. Pada tahun 1958, Yang Di-Pertuan Agong telah menganugerahkan pingat Seri Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun.



glitter-graphics.com

0 comments: