BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 14 July 2011

Dato Onn Jaafar - Pengasas UMNO


        Dato' Onn Jaafar dilahirkan pada 1895 di Bukit Gambir, Johor Bahru. Bapa beliau Dato' Jaafar Haji Muhammad (1838-1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama sementara ibunya, Hanim Rogayah berasal dari Scarcia, Turkey. Dato Onn dihantar melanjutkan pelajaran ke England oleh Sultan Ibrahim , Sultan Johor ketika itu. Dato' Onn adalah pelajar terbaik dalam Pengajian Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Apabila pulang dari England beliau telah dihantar oleh bapanya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk belajar Bahasa Melayu. 

     
  Dato Onn pernah menyandang banyak jawatan dan antaranya, beliau pernah menjadi editor Warta Ahad. Jawatan ini telah menyebabkan beliau mula berjinak-jinak dengan politik dan secara tidak langsung terlibat dalam perjuangan hak bangsa Melayu. Dato' Onn kemudiannya telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, Beliau telah menyumbang dua idea dan jasa yang penting kepada rakyat negeri Johor. Pertama, adalah penubuhan "Sultan Ibrahim Scholarship" dan kedua adalah pemberian tambang penerbangan percuma untuk menunaikan haji bagi kakitangan kerajaan beragama Islam yang berkhidmat untuk Kerjaan Negeri Johor.

      Penubuhan Malayan Union oleh British pada tahun 1946, telah membangkitkan kemarahan orang Melayu. Malayan Union telah dilihat sebagai salah satu cara yang diguna oleh British untuk mengambilalih kuasa Sultan dan cubaan menghapuskan hak istimewa bangsa Melayu. Dato Onn kemudiannya telah menubuhkan Kongres Melayu Se Malaya untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union.

     Kongres ini telah diadakan pada 1 Mac 1946 hingga 3 Mac 1946. Ia telah dihadiri oleh 41 buah pertubuhan Melayu. Antara persetujuan yang telah dicapai oleh Kongres tersebut ialah memulaukan Malayan Union dan berkabung selama tujuh hari dengan memakai songkok yang mempunyai jalur putih. Dato Onn telah memulakan langkah penyatuan Melayu dengan tertubuhnya UMNO pada 4 Mac 1946 untuk menentang Malayan Union.
     Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.
       Datuk Onn kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentangkan, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951
.

      Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.

Selain daripada pengasas UMNO, Dato Onn juga merupakan pencetus idea kepada penubuhan RIDA (Rural Industrial Development Authorit) untuk membantu sosio-ekonomi Melayu. Pada 1955 beliau kalah dalam Pilihanraya Umum, namun terus menyumbang jasa sehingga membawa kepada kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.

     Dato Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussien, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussien bin Dato' Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.



     
      
      
       
      

glitter-graphics.com

0 comments: