BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 14 July 2011

Tun H.S. Lee



Tun Sir Henry Lee Hau-shik, lebih dikenali sebagai Tun H. S. Lee (1900 - 1988) merupakan antara tokoh yang terlibat dalam mendapatkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian menjadi Menteri Kewangan pertamanya dalam Jemaah Menteri Malaya pertama. Beliau juga pernah menjadi Menteri Pengangkutan dalam kabinet sementara sebelum kemerdekaan.


Sejarah
H. S. Lee merupakan anak sulung kepada seorang usahawan dari Gaozhou, Guangdong Lee Kwai-lim dan isterinya Kam Kwok-chun. Dia dilahirkan di Hong Kong pada 19 November 1900. Pada 1924, H. S. Lee berpindah ke Malaya bagi membantu perniagaan bapanya. Beliau dengan cepat menyesuaikan diri dan aktif berpersatuan.
Selepas perang, Tun H. S. Lee merupakan antara tokoh yang terlibat dalam menubuhkan MCA, dan kemudian bertanggungjawab memulakan kerjasama antara kaum sehingga mencetuskan idea penubuhan Parti Perikatan.



Tun V.T. Sambanthan..



Tun Veerasamy Thirunyana Sambanthan (16 Jun 1919 - 18 Mei 1979) ialah Presiden kelima Kongres India Malaya (MIC), sebuah parti politik Malaysia, serta menteri penuh dalam pelbagai kementerian dalam kerajaan Malaysia.

Biografi ringkas

Dilahirkan di kawasan pedalaman Sungai Siput, Perak. Sambanthan bersekolah di Sekolah Clifford di Kuala Kangsar, Perak. Beliau amat cemerlang dalam pelajarannya dan kemudian memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Annamalai di India Utara.
Sejak kecil lagi, Sambanthan sangat aktif dalam pelbagai kegiatan sekolah dan universiti. Kepimpinannya terserlah apabila dilantik menjadi Presiden pertama Kongres India Malaya (MIC) ketika berusia 36 tahun.
Pada tahun 1955, Sambanthan membawa MIC masuk Parti Perikatan, satu parti campuran antara Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersekutu (UMNO) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) untuk bertanding dalam pilihan raya umum perrtama di Semenanjung Tanah Melayu. Beliau bertanding di kawasan pilihan raya Kinta, Negeri Perak. Sambanthan menang dan diberi kepercayaan untuk menjadi Menteri Buruh.
Cabaran gentir ketika itu pula adalah pemecahan kawasan perladangan yang merupakan punca pencarian sebahagian besar rakyat India Malaysia. MIC kemudiannya berusaha menubuhkan koperasi bagai mentakbir ladang tersebut dan dengan itu mendorong kepada penubuhan NLFCS (National Land Finance Cooperative Society).
Pada 31 Ogos 1957 apabila kemerdekaan dicapai, Tun V.T. Sambanthan merupakan salah seorang dari yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan. Lalu Sambanthan dilantik menjadi Menteri Kesihatan. Seterusnya pada tahun 1959, Sambanthan dilantik menjadi Menteri Tenaga, Telekom dan Pos. Jawatan yang terakhir dipegang oleh Sambanthan ialah Menteri Perpaduan Negara. Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet, begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh Sambanthan, terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Sambanthan juga turut berjasa dalam menyatukan masyarakat India di Fiji dengan masyarakat pribumi.
Pada tahun 1973, Sambanthan meletakkan jawatan Presiden Kongres India serta Menteri Perpaduan Negara disebabkan usianya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1979, akibat penyakit jantung. Bagi mengenang jasanya kepada negara, nama Sambanthan telah diabadikan kepada sebatang jalan raya di Brickfield, Kuala Lumpur. Serta, Sistem Monorail Kuala Lumpur juga ada nama stesen sempena namanya Tun Sambathan, iaitu Stesen Monorel Tun Sambanthan.



glitter-graphics.com

Tun Abdul Razak..


Tun Haji Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (NEP) (1971) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas 
kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan".


Kehidupan Peribadi

Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussien bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt. Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang.
Abang ipar Abdul Razak, Tun Hussien Onn, ialah penggantinya sebagai Perdana Menteri ketiga. Anak sulungnya, Dato' Seri Mohd Najib bin Abdul Razak, menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam menggantikan Tun Abdullah bin Ahmad Badawi pada tahun 2009. Anak-anaknya yang lain ialah Datuk Ahmad Johari Razak, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.

Pendidikan
Sejak di sekolah rendah lagi, Abdul Razak telah menunjukkan kepintaran dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Selepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Abdul Razak bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia II.
Selepas peperangan, Abdul Razak pergi ke Britain pada tahun 1947 untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut di England, beliau bertemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan yang ketiga untuk memperoleh ijazah undang-undangnya. Abdul Razak menjadi ahli Parti Buruh British dan sebagai ahli Kesatuan Melayu United Kingdom (KMUK), dipilih sebagai setiausaha di bawah Tunku yang dipilih sebagai presiden kesatuan itu. Bersamping itu, Abdul Razak juga menubuhkan "Forum Malaya", sebuah wadah untuk perbincangan persoalan-persoalan politik negara untuk penuntut-penuntut Malaya. Pada tahun 1950, Abdul Razak menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London. 

Kerjaya

Selepas kepulangannya, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam Malaya dan bergiat dalam bidang politik. Disebabkan keupayaan politiknya, beliau dilantik menjadi ketua pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu UMNO. Dua tahun kemudian, Abdul Razak berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Negeri Pahang dan kemudian, pada Februari 1955, beliau menjadi Pemangku Ketua Menteri Pahang sewaktu berumur hanya 33 tahun.
Selepas memenangi pilihan raya umum yang pertama di Malaya pada Julai 1955, Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Abdul Razak juga menyertai misi Februari 1956 yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan Malaya daripada pihak British.
Selepas pilihan raya umum 1959, Abdul Razak menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar di samping memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri Malaysia Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan Menteri Pertahanan. Pencapaian-pencapaiannya yang utama termasuk perumusan dasar pembangunan yang dikenali sebagai "Buku Merah".
Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, puaknya di dalam UMNO menggulingkan Tunku Abdul Rahman serta mengisytiharkan Keadaan Darurat dan beliau memerintah melalui dekri sehingga 1970. Pada 22 September 1970, Abdul Razak mewarisi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua.
Abdul Razak termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Beliau dan "generasi kedua" ahli-ahli politik Melayu memperlihatkan keperluan untuk mengendalikan ketaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman. DEB menetapkan dua sasaran yang asas, iaitu mengurangkan dan pada akhirnya:
  • menghapuskan kemiskinan; dan
  • menghapuskan pengenalpastian fungsi ekonomi dengan kaum.
Abdul Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 sebagai gantian untuk Parti Perikatan. Beliau menambahkan ahli-ahli parti untuk mengasaskan apa yang dikatanya "Ketahanan Nasional" melalui kestabilan politik.
Disebabkan sebahagian oleh penyakit leukemia, Abdul Razak meninggal pada tahun 1976 sewaktu mendapat rawatan perubatan di London, dan disemadikan di Makam Pahlawan, berdekatan dengan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Selepas kematiannya, beliau dianugerahkan dengan gelaran Bapa Pembangunan.

Sumbangan Tun Abdul Razak

  • Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (4 Oktober 1971 hingga Februari 1984).
  • Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1 November 1974 hingga 31 Oktober 1976)
  • Canselor Universiti Malaya sejak 8 Februari 1986.
  • Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979
  • Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang pada 28 Jun 1980.
  • Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh University of Nottingham pada 11 Julai1986.
  • Dianugerah ‘Kerusi Kehormat’ oleh Lincoln’s lnn, London pada 1988
  • Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, lndonesia pada 28 September 1990
  • Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30 Oktober 1990.
Dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Chulalongkon, Bangkok, Thailand pada 19 Disember 1990 Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Physician of lreland pada 2 Oktober 1991 Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada 1999.




glitter-graphics.com

Tun Tan Cheng Lock..





Latarbelakang
Tan Cheng Lock dilahirkan pada 5 April 1883 di 111, Heeren Street, Melaka. Keturunan beliau berasal dari wilayah Fukien, China dan berhijrah ke Melaka di sekitar tahun 1770an. Bapa beliau bernama Tan Keong Ann dan ibunya Lee Seck Bin. Tempat kelahiran beliau ini masyhur dengan bangunan merah iaitu Dutch Stadthuys. Tan Cheng Lock merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik iaitu empat orang lelaki dan tiga orang perempuan.
    Tan Cheng Lock membesar dalam suasana pembelajaran yang tegas. Kemiskinan hidup menyebabkan beliau belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam hidupnya. Beliau telah menamatkan pengajian Standard VII di Malacca High School pada 1899 dan penerima kedua Biasiswa Tan Teck Guan di sekolahnya.
    Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Raffles Institution, Singapura dari tahun 1902 hingga 1908 dalam bidang undang-undang. Pada tahun 1908, usia beliau genap 25 tahun semasa menuntut di Raffles Institution. Pihak pentadbiran Raffles Institution telah memberi peluang kepada penuntutnya berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain dari Kolej Eropah dan ini menjadikan beliau lebih matang dan taat kepada British. Selepas menamatkan pengajian, beliau telah bekerja di ladang getah Bukit Kajang sebagai Penolong Pengurus dari tahun 1908 hingga 1910 dengan bantuan sepupu ibunya iaitu Lee Chin Tuan. Beliau juga mendapat bantuan dari Chan Kang Swi, untuk menjadi ahli perniagaan dalam perusahaan di bawah Malacca Pinda Rubber Estates, Ayer Molek Rubber Company dan United Malacca Rubber Estates. 



Sumbangan-Ekonomi
Selain memperjuangkan wawasan politiknya, Tan Cheng Lock memberi perhatian terhadap isu ekonomi dan kewangan. Beliau telah menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan British mengurangkan pengeluaran getah dengan tujuan untuk menstabilkan harga komoditi ini dalam zaman kemelesetan ekonomi dunia (1929  1933). Pengalaman luas beliau dalam sektor pertanian khususnya getah menjadi penyumbang kepada termetarainya Penjanjian Kawalan Getah Antarabangsa dengan Syarikat Hindia Timur Belanda dan tujuh negeri lain, iaitu Sri Langka, India, Myanmar, India-China, Thailand, Sarawak dan Borneo Utara pada bulan Jun 1934.



Sumbangan-Pentadbiran
Sejarah kepimpinanannya bermula pada usia 29 tahun apabila beliau dilantik menjadi hakim di Melaka pada bulan Ogos tahun 1912. Berapa bulan kemudian, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Majlis Perbandaran Bandar dan Port di Melaka dari tahun 1912 hingga 1922. 

Pada 1 Januari 1923, ketika Tan Cheng Lock berumur 40 tahun beliau telah dilantik menjadi Ahli Majlis Perundangan Tidak Rasmi Negeri-negeri Selat dan Straits Settlements Executive Council dari tahun 1933 hingga 1935. Semasa tempoh memegang jawatan tersebut, beliau memperjuangkan nasib kaum Cina khususnya dari aspek undang-undang perkahwinan, candu, pendidikan dan isu-isu imigresen. Pada 26 September 1935, Tan Cheng Lock telah bersara dari jawatan Unofficial Member of the Straits Settlements Executive Council. Dalam tahun 1949, beliau telah dilantik menjadi presiden pertama bagi Malayan Chinese Associations (MCA). Tan Cheng Lock adalah generasi kaum Cina awal 1920-an dan 1930-an yang menyumbang kepada Kemerdekaan Tanah Melayu.


Sumbangan-Politik
Pada 27 Februari 1949, Tun Tan Cheng Lock bersama-sama pemimpin Cina yang lain iaitu Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S. Lee mengasaskan penubuhan MCA (Persatuan Cina Malaya) dan dilantik sebagai Presiden parti pertama. Antara tujuan penubuhan MCA ialah untuk menyatukan orang Cina di seluruh Tanah Melayu, melindungi hak dan kepentingan orang Cina, bekerjasama dengan kerajaan untuk menentang komunis, bidang perdagangan, kelonggaran terhadap syarat bahasa dan tempoh tinggal yang lebih pendek, memperkenal konsep jus soli bersyarat bagi bukan Melayu. Akhirnya Tun Tan Cheng Lock telah membawa MCA dalam Konvensyen Kebangsaan (National Conventions) yang dianjurkan bersama UMNO pada 23 Ogos 1953. Akhirnya, Parti Perikatan telah ditubuhkan yang menggabungkan parti UMNO, MCA dan MIC. Seterusnya langkah ini telah mempercepat proses kemerdekaan Tanah Melayu.


Perkahwinan
Pada tahun 1913, Tan Cheng Lock berkahwin dengan Yeo Yeok Neo iaitu anak kepada Yeo Tin Hye iaitu Presiden Persatuan Masyarakat Hokkien di Melaka. Hasil perkongsian mereka berdua, dikurniakan seorang anak lelaki bernama Tan Siew Sin dan empat orang anak perempuan iaitu Kim Tin, Wee Geok Kim, Alice Kim Yoke dan Agnes Kim Lwi. Beliau meninggal dunia dunia akibat serangan jantung pada 13 Disember 1960 ketika berusia 77 tahun di Hospital Besar Melaka.


Anugerah
Sebagai mengenang khidmat dan jasa yang ditaburkan, beliau telah dikurniakan anugerah dan bintang kehormatan oleh kerajaan British, Persekutuan dan Negeri. Antaranya ialah J.P pada tahun 1913 dan Commander of the British Empire (C.B.E), The Knight Commander of the British Empire(K.B.E), dikurniakan oleh King George VI yang membawa gelaran Sir pada tahun 1952. Di peringkat Tanah Melayu pula, negeri Johor telah menganugerahkan D.P.M.J yang membawa gelaran Dato oleh Sultan Ibrahim pada tahun 1949. Pada tahun 1958, Yang Di-Pertuan Agong telah menganugerahkan pingat Seri Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun.



glitter-graphics.com

Dato Onn Jaafar - Pengasas UMNO


        Dato' Onn Jaafar dilahirkan pada 1895 di Bukit Gambir, Johor Bahru. Bapa beliau Dato' Jaafar Haji Muhammad (1838-1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama sementara ibunya, Hanim Rogayah berasal dari Scarcia, Turkey. Dato Onn dihantar melanjutkan pelajaran ke England oleh Sultan Ibrahim , Sultan Johor ketika itu. Dato' Onn adalah pelajar terbaik dalam Pengajian Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Apabila pulang dari England beliau telah dihantar oleh bapanya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk belajar Bahasa Melayu. 

     
  Dato Onn pernah menyandang banyak jawatan dan antaranya, beliau pernah menjadi editor Warta Ahad. Jawatan ini telah menyebabkan beliau mula berjinak-jinak dengan politik dan secara tidak langsung terlibat dalam perjuangan hak bangsa Melayu. Dato' Onn kemudiannya telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, Beliau telah menyumbang dua idea dan jasa yang penting kepada rakyat negeri Johor. Pertama, adalah penubuhan "Sultan Ibrahim Scholarship" dan kedua adalah pemberian tambang penerbangan percuma untuk menunaikan haji bagi kakitangan kerajaan beragama Islam yang berkhidmat untuk Kerjaan Negeri Johor.

      Penubuhan Malayan Union oleh British pada tahun 1946, telah membangkitkan kemarahan orang Melayu. Malayan Union telah dilihat sebagai salah satu cara yang diguna oleh British untuk mengambilalih kuasa Sultan dan cubaan menghapuskan hak istimewa bangsa Melayu. Dato Onn kemudiannya telah menubuhkan Kongres Melayu Se Malaya untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang Malayan Union.

     Kongres ini telah diadakan pada 1 Mac 1946 hingga 3 Mac 1946. Ia telah dihadiri oleh 41 buah pertubuhan Melayu. Antara persetujuan yang telah dicapai oleh Kongres tersebut ialah memulaukan Malayan Union dan berkabung selama tujuh hari dengan memakai songkok yang mempunyai jalur putih. Dato Onn telah memulakan langkah penyatuan Melayu dengan tertubuhnya UMNO pada 4 Mac 1946 untuk menentang Malayan Union.
     Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.
       Datuk Onn kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentangkan, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951
.

      Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS.

Selain daripada pengasas UMNO, Dato Onn juga merupakan pencetus idea kepada penubuhan RIDA (Rural Industrial Development Authorit) untuk membantu sosio-ekonomi Melayu. Pada 1955 beliau kalah dalam Pilihanraya Umum, namun terus menyumbang jasa sehingga membawa kepada kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.

     Dato Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussien, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussien bin Dato' Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.



     
      
      
       
      

glitter-graphics.com

Wednesday, 13 July 2011

TuNkU aBduL RahMaN pUTrA aL-HaJ


Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah
(8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".


Kehidupan Peribadi
Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.
Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukanbola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.


Pendidikan
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quranpada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasaraparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel,Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan denganSultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.
Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.
Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.
Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.


Keluarga
Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.
Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya diGeylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.
Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di [[Kedah]. Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.


Kerjaya Politik
Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.
Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.


Laluan Ke Kemerdekaan
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.
Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.


Sebagai Perdana Menteri
Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.
Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.
Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.
Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.


Kegiatan Islam
Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam(PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.
Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.


Kehidupan Kemudian
Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.
Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star.




Tuesday, 12 July 2011

Sejarah Awal Malaysia

MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA

Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.
Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

Pengistiharan Kemerdekaan
Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.
Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.
7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.
9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.
Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.
Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.
Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.
Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah  Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.
Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka! 

 Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman menglaungkan seruan Merdeka! pada 31 Ogos 1957. 

Allahyarham Mohamed Hamzah, pencipta bendera Malaysia yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang. Bendera Malaysia dicipta pada 1947.


glitter-graphics.com